Adat perkahwinan yang selari dengan tuntutan Islam

Posted on March 31, 2008. Filed under: Uncategorized |

Dalam kepesatan masyarakat menuju ke arah negara maju, masih wujud kekeliruan antara tuntutan agama dan adat yang menjadi pegangan kuat orang Melayu. Bahkan, ada pepatah mengatakan “biar mati anak, jangan mati adat”. Ini menggambarkan betapa dalam sesuatu situasi adat mendahului kepentingan lain dalam hidup. Dalam masyarakat Melayu adat masih diamalkan terutama dalam majlis perkahwinan.

akad nikah

Perkahwinan merupakan perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Perkahwinan dianggap sebagai tali penyambung dalam menghubungkan dua manusia secara halal sehingga mendapat zuriat. Sistem perkahwinan orang Melayu secara dasarnya banyak menurut adat-adat masyarakat dahulu yang berkaitan dengan adat-adat orang Hindu. Namun dengan kedatangan Islam, banyak perubahan yang berlaku selaras dengan perubahan taraf kehidupan dan perubahan fikiran orang Melayu amnya. Walau bagaimanapun, akibat daripada amalan yang sudah lama dituruti dan telah bersemadi dalam kehidupan orang Melayu, terdapat adat yang masih kekal dan diikuti tetapi sudah ada perubahan, ditambah atau diringkaskan untuk selari dengan ajaran islam.

 Agama Islam adalah sebuah agama yang bersifat syumulliyah dan universal. Maka, agama Islam sememangnya merupakan agama yang bercorak konvensional iaitu yang boleh diterima umum. Kita perlu faham bahawa Islam bukanlah agama yang diwahyukan untuk bangsa Arab sahaja bahkan Islam adalah agama yang relevan untuk semua bangsa di dunia ini. Oleh itu, Islam bukanlah dilihat sebagai agama yang menghapuskan kebudayaan sesuatu bangsa jika bangsa tersebut memilih Islam sebagai agamanya. Hal ini kerana, antara faktor yang menyebabkan agama Islam berkembang kepada setiap bangsa dan daerah adalah kerana Islam tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa atau negeri selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Begitulah juga halnya dalam soal upacara perkahwinan. Masyarakat Melayu sememangnya bebas untuk mengadakan upacara perkahwinan berdasarkan budaya dan adat mereka berdasarkan hadis sahih bukhari jilid iv:

 “Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW. melihat banyak wanita dan anak-anak kembali dari suatu pesta perkahwinan. Lalu beliau berdiri lama-lama degan gembira, seraya berkata: “Hai Tuhan! Kamu ini semua adalah termasuk orang-orang yang paling saya cintai” (Hadis Riwayat Bukhari) 

Jelaslah disini bahawa islam tidak melarang mana-mana adat di dunia ini selagi ianya tidak melanggar hukum syarak.

 

Menurut Kamus Dewan (1997), adat bermaksud peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Manakala istiadat pula bermaksud berbagai-bagai adat yang diikuti. Jika dahulu masyarakat melayu hanya mengikut adat nenek moyang sahaja namun kini menteliti masyarakat melayu telah berubah seiring dengan perkembangan dan kemajuan yang dikecapi negara kita. Persoalanya adakah adat perkahwinan dewasa ini selari dengan tuntutan syariat Islam?

 bersanding Adat-adat perkahwinan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Melayu ialah merisik, meminang, bertunang, majlis akad nikah, bersanding, dan walimatul urus iaitu majlis perkahwinan. Secara dasarnya perkahwinan orang Melayu dewasa ini selari dengan tuntutan Islam walau bagaimanapun, ada sebahagian upacara yang diadakan di dalam adat perkahwinan itu yang bercanggah dengan ajaran islam. Adat Meminang merupakan adat kebiasaan masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan dan merupakan suatu ikatan janji pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang. Pemberian seperti cincin kepada wanita semasa peminangan merupakan tanda ikatan pertunangan. Apabila berlaku keingkaran yang disebabkan oleh lelaki, pemberian tidak perlu dikembalikan dan jika disebabkan oleh wanita, maka hendaklah dikembalikan, namun persetujuan hendaklah dibuat semasa peminangan dilakukan.Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut. Menurut ustazah Marina Munira binti Abdul Muttalib dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amalan bertunang di dalam islam dipanggil khitabah dan ianya sama sekali tidak bertentangan dengan syariat islam tetapi apa yang berlaku sekarang ialah ada segelintir masyarakat yang bakal pengantin lelaki itu sendiri yang menyarungkan cincin kepada pasangannya. Hal ini jelas bertentangan dengan ajaran islam kerana mereka berdua lagi bukan muhrim.

Adat persandingan dilihat sebagai suatu perkara yang “wajib” bagi satu pasangan apabila berkahwin dari kaca mata kebanyakan masyarakat Melayu. Persandingan dalam masyarakat Melayu dapat ditakrifkan sebagai suatu perlakuan yang menempatkan pasangan suami-isteri yang telah diijab-kabulkan di atas pelamin yang dihias indah dengan mengenakan pakaian yang kemas dan cantik, berhias wajah serta dikipas oleh dua orang pengipas yang turut dikenali sebagai pengampit. Tujuan diadakan adat persandingan adalah untuk diperlihatkan pasangan pengantin tersebut kepada masyarakat setempat dan sebagai nostalgia manis dalam kehidupan pasangan pengantin tersebut selain bertujuan meneruskan tradisi nenek moyang secara turun-temurun.

 

Ustaz Syed Salim bin Syed hussin dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM berkata demi meraikan adat, Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan beberapa syarat iaitu hendaklah disandingkan secara tertutup di hadapan muhrim atau keluarga terdekat dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat sahaja. Walau bagaimanapun, jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan atau untuk mengisytiharkan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin atau para jemputan mestilah menutup aurat serta tidak berhias dengan keterlaluan kecuali perhiasan yang biasa dilihat.Terdapat beberapa upacara tertentu yang menimbulkan sedikit kontroversi dalam adat persandingan ini. Antara upacara tersebut ialah upacara menabur beras kunyit, membaca jampi mentera, berandam, berhias untuk dipamerkan (tabarruj), mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran, menjadikan wang atau hadiah sebagai suatu kemestian, mas kahwin dan hantaran yang mahal, dan lain-lain lagi. Upacara-upacara yang sedemikian rupalah yang menyebabkan adat persandingan masyarakat Melayu ini dikaitkan dengan isu khurafat, tahyul serta pembaziran. Oleh itu, upacara persandingan dalam masyarakat Melayu perlu dijalankan berlandaskan lunas-lunas Islam agar ia tidak membawa kepada kemurkaan Allah. Islam bukanlah seperti pendapat yang dilahirkanan oleh Niccolo Macmeivili yang mengatakan konsep “niat menghalalkan cara”. Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.

“Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram”  menurut Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu’asirat dan Halal & Haram fil Islam, halaman 36.

Selain dari itu, upacara perkahwinan yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu melibatkan perbelanjaan yang banyak dan besar. Situasi ini sememangnya mendorong kepada gejala pembaziran dalam masyarakat. Menurut Asma Farhana binti Anuar pelajar tahun akhir jurusan Usuluddin Universiti Malaya (UM) kebanyakan orang Melayu menganggap upacara walimah perlu dianjurkan secara besar-besaran kerana upacara ini hanya dilangsungkan sekali dalam seumur hidup. Oleh itu, perkara ini pada pandangan mereka tidak salah walaupun ia melibatkan isu pembaziran. Gejala ini dari perspektif Islam sememangnya tidak dianjurkan. Hal ini kerana, selain mewujudkan gejala pembaziran, gejala ini juga mampu memberikan pelbagai implikasi yang negatif dalam kehidupan masyarakat. Contohnya sifat riak dan takbur mungkin akan berleluasa dalam diri masyarakat. Pepatah Melayu yang berbunyi “biar papa asal bergaya” sememangnya tidak sesuai dijadikan pendirian dalam kehidupan kita. Islam merupakan agama yang mudah dan senang. Membicarakan isu walimah daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi : “Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam)” (Hadis Riwayat Bukhari)Berdasarkan hadis ini, walimah daripada konteks Islam tidaklah memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan. Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang membazir dalam setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat Al-Quran:“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau membazir(pemboros) dengan melampau (Surah Al-Isra:26)

 

Di samping itu, perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas’ud:

 “Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”

Menurut Abu Thohib bin Ahmat 70 tahun, amalan andaman yang mengarut dan salah disisi syariat islam seperti menepung tawar dengan tujuan memelihara pasangan pengantin daripada gangguan mahkluk halus, bercukur yang melibatan percukuran bulu pada bahagian anak rambut, muka, leher dan tangan dengan tujuan untuk menaikkan seri muka, melangir iaitu menyapukan bedak sejuk yang dibasuh dengan air ke bahagian badan yang dicukur dan bermandi bunga dan limau dengan harapan untuk membuang sial tidak lagi diamalkan sekarang. Walau bagaimanapun akhir-akhir ini telah timbul satu fomonena baru dimana juru andam atau lebih dikenali sebagai mak andam yang terdiri dari kaum lelaki lembut atau lebih glamour dipangggil ‘mak nyah’. Hal ini jelas bertentangan dengan syariat Islam kerana aurat perempuan tidak boleh dipertontonkan kepada orang yang bukan muhrim.

Berinai adalah salah satu amalan semasa perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi saw tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra :

”Nabi melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi pun bersabda,” jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dgn inai).” (Abu Daud, 4166) dan (an-Nasa’iy 5092)

Haji Mohd Yusof Abdul Ghani, Hakim Syarie, Mahkamah Tinggi Pahang berkata ” memakai inai tidak salah selagi ianya tidak dipakai untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah “. Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

 “Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi saw  melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Za’faran (kuma-kuma) adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum. Dilarang memakai za’faran (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za’faran dari segi mengeluarkan warna dan bau. Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam islam dibolehkan berdasarkan hadis

:”Dalam riwayat al-Bukhari daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan.

Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda:

” Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”

Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Dewasa ini, ramai juga yang mengundang kugiran atau deejay untuk tujuan hiburan, seringkali hiburan itu berlebihan dan sampai kepada peringkat melampau, bahkan yang lebih buruk lagi kadangkala terdapat juga yang menganjurkan joget lambak dan ada pula yang mengundang “mak nyah”! Hal ini jelas tidak sesuai dan haram. 

Maka dengan itu, tiada sebarang sebab upacara perkahwinan dilarang dalam Islam, namun pelaksanaannya sahaja yang perlu berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan Islam.

Jelaslah, Islam bukan sesuatu agama yang memberati para penganutnya dalam melayari arus kehidupan di dunia ini. Islam secara mudahnya merupakan agama yang diwahyukan untuk semua jenis manusia yang terdapat di atas muka bumi ini. Justeru itu, Islam tidak pernah melarang sama sekali para penganutnya daripada mengamalkan kebudayaan dan kesenian yang terdapat dalam setiap bangsa. Namun, perlu difahami bahawa setiap amalan yang dipraktikkan itu perlu selaras dan selari dengan syariat Islam. Begitu jugalah halnya dengan isu perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Ia boleh dilakukan dan diamalkan selagi ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. 

About these ads

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

5 Responses to “Adat perkahwinan yang selari dengan tuntutan Islam”

RSS Feed for Syikinyahya’s Weblog Comments RSS Feed

assalamualaikum.saya seorang pelajar di sebuah ipts.Sebelum ni saya jarang terbaca rencna mengenai perkahwinan.Tetapi rencana yang saye bace ini banyak memberikan maklumat pada saya yang tidak lama lagi ingin mendirikan perkahwinan.Moga ia dapat membantu saya dihari yang bakal menjelang bye;-)

salam aku suka artikel ni menarik

Bahagianya jika mendapat kebahagiaan di alam rumahtangga..tapi lebih indah jika mendapat kebahagiaan di akhirat…satu artikal yang menarik..good job..good luck 4 ur final exam

salam..
blog yang menarik..
satu topik yang amat penting bagi setiap kaum muslim.
teruskan usaha anda dalam menyebarkan info2 seperti ini.

sangat bergunala post ni..i like it, very informative.


Where's The Comment Form?

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: